- Menurut mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi di Kementerian Pendidikan, seramai 1.3 juta belia Malaysia kini mengikuti pengajian tinggi di insititusi-institusi di seluruh negara. Ini berbeza dengan keadaan 40 tahun lalu di mana hanya 14% daripada penduduk Malaysia berusia 17-23 tahun melanjutkan pengajian selepas tamat sekolah menengah. Peratusan tersebut kini meningkat kepada 44%.
- Sehingga 31 Oktober 2019, Malaysia mempunyai 446 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), di mana 54 adalah universiti, 10 kampus universiti antarabangsa, 37 kolej universiti dan 345 kolej. Manakala bagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), terdapat 20 universiti (tidak termasuk kampus cawangan), 36 politeknik dan 103 kolej komuniti.
Berapa Kos Untuk Mendapatkan Ijazah Sarjana Muda di Malaysia?
- Di Malaysia, kos pengajian di IPTA mendapat subsidi kerajaan (sumber: Infografik The Edge, Isu 1294) yang membolehkan IPTA mengenakan yuran pengajian lebih rendah berbanding di IPTS. Rajah di bawah memberikan gambaran ringkas julat rendah dan tinggi yuran pengajian untuk pelajar tempatan bagi peringkat ijazah sarjana muda di beberapa universiti terpilih berdasarkan tinjauan kami. Ia dibahagikan mengikut beberapa bidang pengajian untuk empat kategori IPT utama. Yuran ini tidak termasuk kos-kos tambahan seperti kos perjalanan, kos sara hidup dan kos bahan-bahan yang diperlukan untuk pengajian.

Yuran di atas diperolehi dari laman web IPT terpilih, antaranya UM, UUM, UKM, UMP,UTem dan Unimas bagi IPTA, Uniten, Multimedia University and UTAR bagi IPTS I, Taylor’s University dan HELP University bagi IPTS II dan Nottingham, Monash and Manipal Melaka bagi kampus IPT luar negara di Malaysia.
Nota Ringkas: Maklumat Yuran Pengajian
Dalam proses mengumpul maklumat tentang yuran pengajian di IPT tempatan, kami mendapati tiada keseragaman antara institusi dan ini menyukarkan pengguna (seperti kami) untuk membuat perbandingan. Contohnya, ada universiti yang memaparkan yuran untuk setiap jam kredit (tetapi tidak memberi jumlah jam kredit untuk kursus tertentu), ada yang memaparkan yuran setiap semester dan ada pula yang memaklumkan yuran tahunan dan keseluruhan. Beberapa institusi pula tidak memaparkan maklumat tentang yuran di laman web mereka.
Untuk memastikan kesahihan maklumat di laman web, kami menghubungi beberapa institusi secara e-mel dan juga panggilan telefon. Kami berterima kasih kepada institusi yang membantu kami. Namun, ada juga institusi lain yang tidak membalas emel, atau tidak dapat mengesahkan yuran terkini melalui telefon.
Jadual di atas memberi anggaran yuran pengajian berdasarkan apa yang dapat kami perolehi, dengan angka dibundarkan kepada ratus yang terhampir. Pengalaman peribadi orang ramai mungkin berbeza dengan angka yang di atas
Sumber Pembiayaan Pendidikan
- Laporan Kajian Pengesanan Graduan dari Kementerian Pendidikan merupakan laporan kajiselidik hala tuju graduan dari IPT di Malaysia setiap tahun. Berdasarkan laporan yang terkini, 45.5% graduan dari IPT di Malaysia pada tahun 2017 mendapat pembiayaan pendidikan melalui PTPTN, manakala 32.7% secara persendirian. Lebih kurang 7.5% pelajar ditaja oleh MARA, dan selainnya melalui biasiswa atau kaedah lain.
- Di bawah, kami mengetengahkan beberapa sumber pembiayaan pendidikan yang ada untuk pelajar di Malaysia. Walaupun majoritinya adalah untuk pendidikan dalam negeri, tetapi kaedah pembiayaan yang tersenarai ada juga yang boleh digunakan untuk membiayai pendidikan luar negara.
Persendirian
- Pembiayaan pendidikan secara persendirian biasanya merujuk kepada penggunaan wang simpanan ibu bapa atau keluarga untuk menanggung perbelanjaan pengajian tinggi seseorang. Wang simpanan ini biasanya dikumpul semenjak pelajar masih kecil lagi. Pihak PTPTN melancarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk menggalakkan individu dan ibu bapa menabung untuk masa depan pendidikan diri sendiri, anak atau tanggungan mereka.
- Akaun 2 KWSP juga boleh digunakan untuk membiayai pendidikan tinggi diri sendiri atau anak, sama ada di institusi tempatan atau luar negara. Ia boleh juga digunakan untuk melangsaikan hutang pinjaman pendidikan sedia ada. Dari tahun 2007 sehingga Mac 2016, sebanyak 583,150 permohonan pengeluaran pendidikan telah diluluskan, dengan jumlah RM2,942b yang telah berjaya membiayai hampir 240,000 diploma dan 300,000 ijazah.
Bekerja Separuh-Masa
Amalan bekerja separuh masa untuk menampung perbelanjaan pengajian semakin menjadi kebiasaan untuk para pelajar IPT. Ada yang menggunakan wang hasil perkerjaan ini untuk menampung kos pengajian tambahan, kos sara hidup atau menabung untuk membayar balik pinjaman pengajian kelak. Laporan HSBC tentang pengajian tinggi mendapati secara purata, di samping ke kelas dan membuat ulangkaji, pelajar IPT di Malaysia juga bekerja 3.4 jam setiap hari.
Pinjaman Pendidikan
- Pelajar IPT di Malaysia boleh membuat pinjaman pendidikan, tetapi jumlah pinjaman ini mungkin tidak merangkumi keseluruhan kos pengajian. Dana PTPTN merupakan sumber pinjaman yang paling popular.
- Pembiayaan PTPTN diberikan berdasarkan kemampuan keluarga pelajar dan tertakluk kepada kos pembiayaan yang tersenarai di laman web mereka.
- Agensi kerajaan seperti MARA, serta organisasi swasta, institusi kewangan dan koperatif juga turut memberi bantuan pinjaman pendidikan.
Biasiswa
- Pelajar cemerlang berpeluang mendapat biasiswa dari kerajaan, syarikat GLC atau swasta serta universiti di mana mereka belajar. Biasanya, pelajar yang mendapat biasiswa perlu bekerja untuk pihak penaja setelah tamat pengajian mereka.
- Senarai biasiswa yang ada boleh didapati di laman web seperti Senarai Biasiswa Terkini, Afterschool.my and Eduadvisor dan biasanya akan dikemas kini sekitar waktu keputusan SPM /STPM diumumkan. Jumlah pembiayaan biasiswa berbeza-beza mengikut skim penajaan – ada biasiswa yang memberi jumlah tertentu dan ada yang menaja keseluruhan kos pengajian termasuk sara hidup.
Bantuan Kewangan Lain
- Pelajar yang layak boleh menerima bantuan kewangan dari agensi peringkat negeri. Contohnya:
- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyediakan skim zakat pendidikan tinggi untuk golongan miskin di Wilayah Persekutuan
- Yayasan negeri seperti Yayasan Selangor, Yayasan Sabah and Yayasan Terengganu ada menawarkan biasiswa atau pinjaman.
Crowdfunding
- Satu alternatif baru yang kini semakin popular di Malaysia ialah crowdfunding di mana para pelajar boleh memohon bantuan dari orang ramai untuk membiayai pengajian mereka. Walaupun ia tidak ekslusif untuk pengajian tinggi, contoh salah satu platfom crowdfunding untuk pendidikan ialah Skolafund.com.
Impak Kos Pengajian Tinggi ke Atas Graduan
- Jadual yang dipaparkan di atas memberi gambaran asas julat yuran pengajian di beberapa IPT di seluruh negara. Kos ini tidak termasuk kos-kos sampingan seperti kos sara hidup dan kos peralatan yang masih perlu ditanggung oleh para pelajar, tidak kira sama ada mereka belajar di IPTA atau di IPTS.
- Isu beban hutang pendidikan tidak dibincangkan dengan begitu meluas di Malaysia berbanding dengan negara seperti Amerika Syarikat. Namun begitu, peningkatan bilangan pelajar yang mengambil pinjaman pendidikan bermakna semakin ramai graduan Malaysia menanggung beban hutang pendidikan setelah tamat pengajian.
- Kaji selidik AKPK pada tahun 2018 tentang tingkahlaku kewangan pekerja dewasa warga Malaysia mendapati beban hutang pendidikan merupakan antara lima beban hutang utama warga bekerja, dan antara kedua hutang utama bagi mereka berusia 20-29 tahun.
Pembiayaan PTPTN dan Beban Hutang Pendidikan
- Berdasarkan dapatan Laporan Kajian Pengesanan Graduan, PTPTN merupakan pembiaya utama pelajar IPT di Malaysia. Lazimnya, peminjam dijangka memulakan proses pembayaran balik 12 bulan selepas tamat pengajian. (Pelajar yang lulus kelas pertama boleh memohon untuk pengecualian pembayaran balik).
- Bebanan bayaran balik berbeza bagi setiap individu, dengan ada yang merasakan ia membebankan dan ada yang sebaliknya. Ini tertakluk kepada berbagai faktor, termasuk gaji permulaaan dan tanggungan hutang atau beban kewangan lain yang sedia ada.
- Kadar bayaran balik yang rendah terus menjadi isu besar kepada PTPTN. Sehinggai 2015, hanya 50% pinjaman telah dibayar balik, dan sehingga 2018, jumlah hutang tertunggak mahasiswa ke atas PTPTN adalah sebanyak RM39b.
- Beberapa kajian telah dijalankan untuk memastikan kenapa kadar bayaran balik hutang PTPTN begitu rendah.
- Kajian ahli akademik dari UiTM pada 2012 mendapati para graduan mengutamakan hutang lain, dan menganggap hutang PTPTN perbelanjaan kelima terpenting selepas belanja harian, membayar hutang kereta, simpanan bulanan dan menghantar wang kepada ibu bapa.
- Kajian PTPTN sendiri yang disebut dalam kajian Penang Institute tentang kelestarian kewangan PTPTN mendapati kos sara hidup tinggi dan pendapatan rendah mempengaruhi kebolehbayaran para graduan.
- Kajian ahli akademik dari UUM pada tahun 2014 pula berpendapat bahawa pasaran buruh untuk graduan perlu dipertimbangkan apabila menilai isu bayaran balik hutang pendidikan seperti PTPTN.
- Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, baru-baru ini mengumumkan kabinet akan menentukan bagaimana skim PTPTN boleh ditambahbaik. Ini merupakan langkah yang sangat penting dalam menentukan nasib dan masa depan PTPTN.

Soalan Dari Peminat Dasar
Setakat manakah masalah kutipan hutang PTPTN hanya isu mekanisma kutipan yang kurang efisien?
Bagaimanakah faktor ekonomi seperti gaji permulaan graduan yang rendah, kos sara hidup yang tinggi dan pengangguran di kalangan graduan menyulitkan lagi masalah beban hutang pendidikan?
Email us your views or suggestions at editorial@centre.my.